Nik Mahmood bin Nik Idris : Pelukis Kelantan
Nik Mahmood bin Nik Idris : Pelukis Kelantan
Beliau telah menghasilkan sebuah lukisan terawal Still Life pada tahun 1940-an menggunakan medium pastel.
Lukisan ini dihasilkan ketika beliau berada di Raffles College Singapura.
Selepas tamat Perang Dunia ke-2, beliau telah memulakan tugas sebagai guru lukisan di Sekolah Melayu Padang Garong, Kota Bharu dan selepas itu beliau memegang jawatan sebagai Guru Pelawat lukisan sehingga awal tahun 1970-an. Beliau kemudiannya berkhidmat di Pejabat Pelajaran Negeri Kelantan sebagai Nazir sekolah-sekolah rendah. Nik Mahmud Nik Idris merupakan seorang guru yang komited dalam bidang seni lukis. Beliau telah mengadakan kelas seni lukis khas pada setiap hari sabtu kepada mereka yang mempunyai minat yang tinggi dalam bidang seni lukis. Kelas seni lukis tersebut diadakan di Sekolah Rendah Perempuan Merbau yang terletak di tapak Sekolah Menengah Zainab II pada ketika ini. Di sinilah beliau mencurahkan segala ilmu yang berkaitan dengan teknik-teknik dalam seni lukis.
Selain itu, beliau juga telah menghasilkan rekabentuk cokmar Dewan Negara yang diperbuat daripada emas dan perak, berukuran 4 kaki panjang berbentuk tongkat berkepala di Kota Bharu. Cokmar ini pertama kalinya dipersembahkan oleh wakil raja-raja Melayu diupacara pembukaan Persidangan Majlis Perundangan Persekutuan yang dirasmikan oleh Pesuruhjaya Tinggi Sir Gerald Templer pada tanggal 19 Mac 1952. Cokmar yang dipersembahkan di Majlis Perundangan itu adalah merupakan simbol kuasa Kerajaan Persekutuan yang berparlimen, berdemokrasi dan berpelembagaan.
Hasil Seni Beliau Kepada Negara.
Selain daripada melukis, pada sekitar tahun 1955 pula, beliau telah berjaya menghasilkan karya berbentuk komik iaitu Kasturi. Komik yang bertulisan jawi ini merupakan antara komik terawal yang diterbitkan pada sekitar tahun 1950-an oleh Toko Buku Abu Bakar bin Mohd Al-Ahmadi Jalan Post Office Lama di Kota Bharu, Kelantan.
Sekitar awal tahun 1970-an, didorong oleh minat yang mendalam dalam bidang seni lukis beliau bersama Tengku Abdul Rahim Tengku Zainal Abidin yang pada ketika itu merupakan Ketua Jajahan Kota Bharu telah menubuhkan Angkatan Pelukis Semenanjung (APS) Cawangan Kelantan di bawah Angkatan Pelukis Semenanjung Pusat iaitu gabungan pelukis-pelukis yang ditubuhkan oleh pelukis terkenal negara Datuk Hoessin Enas di Kuala Lumpur .
Angkatan Pelukis Semenanjung (APS) Cawangan Kelantan telah bergerak aktif selama hampir satu dekad. Aktiviti seni lukis diadakan pada setiap minggu di Istana Tengku Seri Akar di mana sekarang merupakan tapak Bazar Tengku Anis. Selain itu, pameran lukisan juga sering diadakan di Dewan Pengangkap, Dewan Pandu Puteri dan Dewan Wanita sebelum persatuan baru iaitu Persatuan Pelukis Kelantan PESENI ditubuhkan pada tahun 1979.
Hasil daripada kesungguhan dan usaha yang berterusan, beliau telah berjaya melahirkan anak didik yang berjaya dalam bidang seni lukis seperti Khalil Ibrahim, Nik Zainal Abidin Nik Salleh, Ismail Mat Husin, Yusoff Sulaiman, Moktar Ishak, Zakaria Abdullah, Wan Ismail Wan Jaafar, dan ramai lagi yang melukis secara penuh masa atau sambilan. Diantara murid beliau yang berjaya membawa lukisan mereka ke persada kebangsaan dan antarabangsa adalah Khalil Ibrahim, Nik Zainal Abidin Nik Salleh dan juga Ismail Mat Husin.